Thursday, September 19, 2013

Latih waktu tidur bayi anda


Tidur yang cukup sememangnya sangat penting kepada bayi kerana ia dapat memberi peluang kepada tubuh mereka untuk berehat selain sebahagian besar pertumbuhan otak berlaku ketika mereka tidur dengan nyenyak.
Bayi yang tidak mendapat tidur mencukupi lazimnya meragam dan sering merengek hingga menjejaskan proses pembelajarannya selain memberi kesan mendalam kepada ibu bapa yang kepenatan. 
Berikut beberapa tip untuk membantu ibu bapa mendapat rehat yang cukup dan melatih anak mereka tidur mengikut waktunya. 

  • Setiap bayi mempunyai corak tidurnya yang sendiri, tetapi ketika usianya menjangkau tiga atau empat bulan, ibu bapa boleh mula melatih ­mereka tidur mengikut jadual yang sesuai dengan kitaran tidur semula jadi bayi.

  • Beri perhatian pada tanda yang ditunjukkan bayi apabila ia mula mengantuk misalnya menggosok mata, bermain dengan rambut atau mula meragam selepas minum pada waktu tengah hari.


  • Anda mungkin perlu mencatat rekod mengenai tanda mengantuk yang ditunjukkan atau bila anak anda tidur dalam tempoh seminggu supaya corak tidurnya dapat dikenal pasti, seterusnya memudahkan anda merangka jadual tidurnya. 

  • Cuba tidurkan bayi pada waktu yang sama setiap hari. Ini kerana sekiranya jadual tidurnya berubah-ubah, bayi akan mengalami masalah sukar melelapkan mata. 

  • Sekiranya bayi yang ditinggalkan di rumah ­pengasuh tidur sekitar jam 3 petang, cuba teruskan waktu tidur yang sama ketika anda bercuti dan menjaga sendiri bayi pada waktu itu. 

  • Rutin tidur sekejap di siang hari penting selain tidur yang lena pada waktu malam. Ia membantu anak anda berasa tenang dan membuatkannya lebih bersedia untuk tidur. 

  • Cuba membacakan buku cerita, menyanyi atau membelai anak untuk membantunya berehat. Apabila diamalkan, secara tidak langsung bayi akan tahu waktu tidurnya sudah hampir. 

  • Pastikan bayi berpakaian selesa dan letakkan di atas tilam tanpa bantal, selimut atau mainan berada berhampiran. 

  • Elak bunyi kuat atau permainan yang merangsang mindanya ketika mahu menidurkan bayi. 

  • Tidurkan bayi di tempat yang sama setiap malam, supaya bayi ­dapat mengaitkan tempat itu dengan perbuatan tidur. 


  • Jika pulang ke kampung atau pergi bercuti, bawa sekali buku cerita atau sebarang objek yang boleh membuatkan bayi tahu ia masa untuk tidur apabila diberikan kepadanya. 

  • Jangan tunggu sehing­ga bayi terlalu penat untuk menidurkannya. 

  • Sekiranya bayi gemar tidur dalam jangka pendek tetapi kerap, jangan gusar dengan keadaan itu selagi ia tidak meragam dan ceria. 

  • Bayi juga berasa tenang selepas dimandikan dengan air yang suam dan lebih mudah tidur selepas itu. 

  • Amalkan rutin seperti mencuci muka, membersihkan gusi atau gigi, menukar lampin dan menukar baju untuk membuatkan bayi selesa dan tahu sudah masuk waktu tidurnya.


  • sumber: metro

    No comments:

    Post a Comment