Simpton mahu bersalin adalah berbeza untuk setiap wanita dan menentukan titik mulanya adalah mustahil. Ia merupakan satu proses iaitu apabila beberapa perubahan dalam badan anda bekerjasama untuk membantu kelahiran bayi. Bagi mommies yang hamil anak sulung pastinya kurang tahu mengenai tanda kontraksi, jom baca tanda-tanda kontraksi. Moga dapat jadi panduan pada mommies semua.
Bayi belum “turun” tetapi pinggang sudah lenguh. Perut pula semakin memulas. Sakitnya semakin lama semakin kerap. Adakah itu tanda hampir bersalin?
Seawal tiga minggu dari tarikh jangkaan kelahiran, kesakitan yang dirasai semakin kerap. Selain itu, pengeluaran lendir bercampur darah atau lelehan air ketuban menandakan anda telah sampai ke peringkat awal proses bersalin. Pengecutan rahim merupakan asas utama yang akan memulakan keseluruhan proses bersalin. Rahim merupakan organ reproduktif wanita yang akan membiarkan janin membesar tanpa sebarang gangguan dan akan berkontraksi mengeluarkan janin sewaktu kelahiran. Ia merupakan dua fungsi yang bercanggah untuk satu organ yang sama.
Otot-otot yang terdapat di dinding rahim adalah jenis smooth muscle yang tidak dapat dikawal seperti otot-otot pergerakan di kaki dan tangan. Jadi, pengecutan otot ini bergantung kepada tindak balas saraf dan hormon-hormon yang dilepaskan ke dalam sistem badan ibu oleh janin yang dikandungnya.
Pemerhatian klinikal menunjukkan pengecutan bermula dari bahagian atas rahim dan merebak ke bahagian bawah menuju ke arah pangkal rahim. Ia berlaku berulang-ulang kali dengan kekerapan yang semakin tinggi. Namun, sebelum aktiviti maksima ini, proses yang sama telah pun berlaku tanpa disedari. Proses ini sebenarnya adalah proses yang normal untuk memastikan rahim, pangkal rahim dan bukaan faraj berada dalam kedudukan sejajar bagi membolehkan bayi turun dan keluar semasa proses kelahiran.
Kesakitan yang dirasakan sebenarnya berpunca dari pengecutan rahim yang berkala. Pengecutan yang kerap menyebabkan otot semakin kekurangan oksigen, suatu keadaan yang menimbulkan rasa sakit di dalam otot itu sendiri. Selain itu, tekanan ke atas komplek saraf yang tersepit di antara dua struktur bertulang yang keras iaitu kepala bayi dan tulang pelvik ibu menyebarkan sakit bersalin ke semua arah. Kesakitan ini berterusan dan semakin kuat apabila bukaan pangkal rahim bergerak secara aktif. Untuk kehamilan pertama, bukaan berlangsung dalam anggaran bukaan 1 cm setiap sejam.
Bayi akan mula turun melalui rongga yang telah tersusun dan membuka. Penurunan ini akan menimbulkan satu lagi punca kesakitan apabila bayi sampai dalam vagina dan bersedia untuk keluar. Regangan keseluruhan rongga vagina dan semua otot-otot pelvik di peringkat akhir proses bersalin juga memberikan rasa sakit.
Seringkali anda dinasihatkan untuk terus ke hospital sebaik sahaja tanda-tanda awal bersalin berlaku. Dalam julat masa yang singkat ini, terdapat segelintir daripada anda yang terdedah kepada pelbagai masalah yang melibatkan ibu atau anak dalam kandungan. Selain dari tu, pemantauan perlu dimulakan sebaik sahaja sakit bermula bagi ibu yang menghidap darah tinggi, kencing manis, penyakit jantung ataupun masalah perubatan yang lain. Kedudukan bayi perlu ditentukan untuk memastikan ia betul-betul sesuai untuk kelahiran biasa. Sekiranya air ketuban telah pecah, keadaan tali pusat bayi perlu ditentukan juga. Bagi masalah tali pusat yang keluar terlebih dahulu sudah tentu memerlukan pembedahan dilakukan dalam masa 10 minit untuk menjamin keselamatan bayi.
Sekiranya keadaan ibu dan bayi adalah baik, bukaan pintu rahim akan menentukan status kelahiran tersebut. Kurang dari 3 cm menandakan proses bersalin peringkat awal. Bukaan pangkal rahim yang lebih besar dari 3 cm menandakan proses aktif telah bermula. Penentuan kaedah kawalan sakit bersalin akan ditentukan berdasarkan status tersebut. Bergantung kepada kaedah yang disediakan di hospital, doktor akan memberikan kaedah yang bersesuaian.
Mengambil kira kelahiran pertama sebagai contoh, antara kaedah yang dicadangkan ialah suntikan, sedutan gas entonox dan pembiusan epidural. Suntikan ubat tidak lagi sesuai sekiranya bukaan mencecah 8 cm. Dikhuatiri bayi akan mengalami kesan ubat dan susah bernafas sebaik sahaja dilahirkan. Sedutan sendiri gas Entonox boleh diambil pada bila-bila masa sepanjang proses kelahiran malah boleh diteruskan semasa proses pengeluaran uri atau jahitan dilakukan. Epidural pula hanya boleh diberikan sekiranya terdapat khidmat doktor bius khusus di bilik bersalin, lengkap dengan kakitangan serta peralatan bantuan untuk menangani sebarang komplikasi. Jadi, berbincanglah dengan doktor untuk mendapat maklumat lanjut. Maklumat ini tentunya akan melegakan perasaan cemas yang anda rasai.
Kontraksi palsu
Ada ketikanya, sebaik sahaja bergegas ke hospital, kesakitan reda dengan sendirinya. Biarpun begitu, anda perlu meneruskan pemeriksaan doktor bagi memastikan punca kesakitan tersebut. Ini kerana jangkitan kuman dalam air kencing, radang yang melibatkan appendiks atau usus boleh menimbulkan kesakitan yang sama. Dengan adanya tanda-tanda klinikal yang menjurus kepada lain-lain diagnosis selain sakit bersalin, doktor akan meneruskan pemeriksaan faraj.
Ketahuilah, kontraksi palsu akan hilang dengan sendiri. Ini kerana pangkal rahim masih kenyal dan tertutup rapat. Tiada juga terdapat tanda-tanda pendarahan atau lelehan air ketuban. Tambahan pula pemeriksaan ultrasound menunjukkan tempoh kehamilan masih awal dan bayi berada dalam keadaan yang baik.Rawatan khusus akan diberikan dan biasanya anda diarahkan untuk berehat di rumah untuk tempoh sementara antara tiga hingga tujuh hari sehinggalah pemeriksaan semula dilakukan.
*Tips khas
Bagi mengurangkan sakit kontraksi, anda digalakkan mengiring ke sebelah kiri. Ia membolehkan suami mengurut bahagaian belakang dan tidak mengganggu peralatan yang digunakan. Paling penting, ia tidak akan menyebabkan gangguan aliran darah kembali ke jantung. Jika mengiring ke sebelah kanan, rahim akan menghimpit saluran pembuluh darah utama ke jantung!
credit source:pama.karangkraf.com
No comments:
Post a Comment